Sunday, December 23, 2007

Bahasa Arab VS Materialistik

الــــــــسلام عليــــــــكم


Dalam artikel terdahulu, saya menyebut kepentingan atau motivasi yang mendorong ke arah pembelajaran Bahasa Arab. Ya benar, faktor rohani ( agama Islam ) menjadi asasnya atau pun terasnya.


Saya berkira-kira bahawa jika dibuat suatu perbandingan mudah atau makna tersirat, sekiranya keinginan ke arah rohani menurun, maka minat terhadap bahasa Arab pun turut merudum sama. Lalu ini mungkin memaksa ramai orang untuk tidak lagi memartabatkan bahasa Arab. Bukan sahaja di kalangan orang awam, malah para agamawan sendiri pun hilang minat dan keyakinan terhadap bahasa Arab.

Dalam hal-hal sebegini saya agak yakin bahawa minat utama mempelajari bahasa Arab di kalangan orang awam ( maksud saya bukan golongan akademik ) ialah kerana rohani. Jadi perbandingan itu kemungkinannya besar adalah betul. Namun saya tidak menolak bahawa faktor material juga boleh membentuk minat terhadap bahasa Arab. Apalagi sekarang ini sudah mula ada riak-riak pandang ke negara Arab yang kaya-raya dan berimej mewah.

Bagi saya, minat yang berdasarkan paksi material sesungguhnya seumpama fatamorgana. Ianya tidak kekal dan sering beubah-ubah mengikut kehendak manusia yang tidak pernah puas. Lihat sahaja bahasa-bahasa dunia yang mati kerana ianya tidak praktikal dengan kehendak ideologi semasa. Malah tidak juga sesuai untuk menjadi wahana pemikiran.

Saya yakin bahasa Arab tidak sedemikian. Malah bahasa ini akan terus fleksibel dan releven sepanjang masa sebagai wadah ilmu dan pemikiran. Kehebatan bahasa ini tidaklah berasaskan emosi atau sentimen agama semata. Malah ia juga logik dan munasabah dari aspek sains linguistik yang dimajukan oleh para sarjana bahasa hingga kini.

Selepas ini, kita akan sama-sama menekuni kehebatan bahasa ini dari aspek sains linguistik. insyaAllah bahasa yang akan digunakan bersesuaian untuk segenap lapisan. Sekian dahulu.

No comments: