السلام عليكم
Untuk menerangkan tajuk seperti di atas, memerlukan permulaan yang menarik. Sudah tentu saya tidak begitu bijak dalam hal ini. Namun tidak salah kalau kita mencuba.
Tujuan artikel ini ialah untuk menerangkan keanjalan bahasa Arab merentasi masa dan geografi serta kesesuaiannya sepanjang zaman. Oleh itu maksud "sains" dalam tajuk ini haruslah diperjelaskan betul-betul.
Sains ialah suatu kaedah atau rumus yang boleh diuji semula. Ini mungkin sebahagian kecil daripada definisi-definisi yang diberikan oleh ilmuan. Biasalah, dunia akademik sering diwarni oleh hujah-hujah dan kritikan.
Dalam konteks bahasa Arab, melihat pada ciri- ciri morfologinya kita akan mengesan aspek saintifiknya. Binaan atau pembentukan kata bahasa Arab adalah berasaskan kepada rumus atau kaedah tertentu. Ini dibuktikan dalam perbincangan buku-buku linguistik klasik atau moden khususnya dalam pembentukan kamus atau mukjam.
Sebagai contoh, kata akar bahasa Arab semuanya dibina daripada tiga huruf, empat huruf atau pun lima, melainkan kosa kata yang diambil dari bahasa asing. Jika anda tidak percaya cubalah mengujinya. Kita ambil perkataan مكتبة sebagai data untuk dianalisis. Perkataan ini terdiri daripada lima huruf. Namun kata akarnya hanyalah tiga( ك / ت/ ب ). Penambahan huruf lain pada kata akar ini menambahkan lagi makna dan juga perbendaharaan kata bahasa Arab. Begitulah rumus-rumus ini boleh diaplikasikan kepada kosa kata bahasa Arab yang lain.
Masalah atau halangan yang timbul dan mungkin dihadapi oleh kita ialah untuk membezakan mana satu yang asal dan mana yang tidaknya. Hal ini boleh diatasi dengan mendalami bidang Sorof ( morfologi ) bahasa Arab. Keteraturan sistem binaan dan derivisi kata bahasa Arab ini membuktikan bahawa, bahasa Arab adalah saintifik dan boleh mendukung wadah keilmuan sepanjang masa.
Sekian dahulu.
No comments:
Post a Comment