Thursday, November 19, 2015

السلام عليكم و رحمة الله

Syukur kepada Allah kerana masih memberi peluang bernafas di dunia ini. Tahun ini banyak peristiwa penting. Aku dah menjangkau 40 tahun. Wow! Angka yang hebat. Di usia ini Nabi s.a.w diangkat menjadi Rasul. Di usia ini jugalah doa khusus dibaca dalam al-Quran (al-Ahqaf 15):

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ.
Benar, usia ini memberi gambaran kesempurnaan hidup, seperti rezeki harta, kedudukan dan pemilikan zuriat. Semuanya hampir sempurna. Malah jika melihat kepada sirah baginda s.a.w, ini umur permulaan jihad dan dakwah digerakkan. Sungguh, pada usia ini manusia mempunyai kekuatan tersendiri.

Moga-moga ranjau hidup ini mampu ditempuhi dengan tabah dan aman. amin ya Rabb!

Monday, October 20, 2014

Buku

Assalamualaikum wrbth,

Tahun 2012-2013 menyaksikan tumpuan saya kepada penulisan buku. Tidak terkecuali juga menyelesaikan beberapa tugasan-tugasan penyelidikan yang perlu disempurnakan dalam masa yang ditetapkan. Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar.
            Tugas sebagai pentadbir akademik sebenarnya tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak menulis [berkarya]. Ini pandangan saya. Bukan untuk berpolemik. Malah menulis, tanpa mengira apa jua genre adalah baik untuk melatih kita berfikir dan menggunakan bahasa. Kebetulan banyak perkara yang boleh ditulis dan dikongsikan jika kita sebagai pentadbir akademik. 
             Buat saya menulis ialah rutin dan tanggungjawab seorang ilmuan. Rekodkan dan tinggalkan laluan hidup ini dengan catatan ilmu. Mungkin kita tidak mempunyai anak-anak didik yang ramai dan menyangjungi kita semasa hidup. Biarlah. Berpeganglah pada hakikat bahawa ilmu yang bermanfaat akan terus menjadi modal kita untuk hidup di alam baru.
Mudah-mudahan usaha ini dikategorikan sebagai ilmu yang bermanfaat. Ameen.

Sunday, December 23, 2012

Syukur

Akhirnya rawatan gigi sempurna dilaksanakan. Sakitnya perlahan-lahan hilang dan selera makan dapat dikembalikan....

Alhamdulillah

Terima kasih Dr Firdaus yang berani melakukan pembedahan dalam masa 45 minit dengan bantuan sahabatnya.....

Friday, September 14, 2012

Selesai

السلام عليكم

Akhirnya masalah pembedahan selesai. Selepas mengambil kira pandangan sahabat, ia ditangguhkan. Kerana faktor yang masuk akal dan sesuai untuk dipertimbangkan. Lalu diharapkan apa yang diyakini menjadi kenyataan. Moga-moga ada alternatif lain yang boleh dilaksanakan.


Wednesday, August 29, 2012

Penyakit

السلام عليكم

Penyakit atau sakit adalah lumrah kehidupan manusia. Seumpama kenderaan yang kita miliki, sudah pasti akan memerlukan 'rawatan' apabila sudah berusia. Lima tahun atau mungkin sehari selepas dibeli, ada juga yang terus memerlukan rawatan. Bergantung kepada rezeki masing-masing.

Hal yang sama juga berlaku kepada kita. Ada yang baru dilahirkan, terus diuji dengan penyakit. Tidak kurang pula yang hidup bertahun-tahun, hanya mengalami demam dan selsema sahaja. Itu pun dalam sehari dua. Bahkan ada yang usia hampir senja baru ditimpa dengan pelbagai penyakit, seumpama sudah jatuh ditimpa tangga. 

Jika direnung dengan mendalam, betapa hebatnya aturan Allah. Semua itu direncanakan dengan penuh teliti, hinggakan kita sebagai hambanya tidak sanggup memikirkan segala hikmah yang tersembunyi di sebalik semua kejadian itu. Kerana itulah, kita perlu membaca dan memahami maksud dalam al-Quran. Di dalamnya banyak pengajaran dan jawapan kepada persoalan yang berlegar-legar dalam fikiran kita yang terbatas.

Dua belas hari daripada sekarang, saya akan melalui pembedahan. Satu tempoh yang dirasakan begitu panjang. Namun persediaan awal perlu disempurnakan sebelum hari itu tiba. Setiap hari perlu dihabiskan segala beban tugas, agar sebarang kemungkinan selepas pembedahan dapat diatasi dengan sebaik-baiknya.

Memang benar...kita semakin dekat dengan kematian.

Wassalam

Monday, August 27, 2012

Manusia Memang Begitu

السلام عليكم

Berlalu sudah bulan puasa. Semakin jauh usia kita ditinggalkan di belakang. Hari-hari yang mendatang memberi banyak kemungkinan. Kemungkinan ini hanya Allah yang tahu. Dia yang mengaturkan segalanya.
 
Puasa enam (puasa enam hari di bulan Syawal) sedang dikerjakan oleh sebilangan kaum muslimin. Ada juga yang tidak kisah. Ada juga yang sejuk panas. Atau lebih mudah, hangat-hangat tahi ayam, kata peribahasa Melayu. Apa pun, ia sekadar ibadat sunat. Ada pilihan untuk buat atau tinggalkan.
 
Dalam keghairahan menyambut bulan raya (dulu hari raya, sekarang lebih tepat bulan raya), banyak dalam kalangan kita yang tidak dapat meneruskan puasa enam. Sekejap ada rumah terbuka di sini, sekejap di sana. Aduhai...esok lusa di tempat kerja pula ada rumah terbuka. Tup-tup bulan syawal berlalu pergi seperti Ramadhan juga.
 
Betapa damai dan amannya hidup di Malaysia. Biar pun ada segelintir yang tidak mahu mengakuinya. Semua benda yang ada di dunia ini, kebanyakannya boleh didapati di sini. Keamanan, kestabilan, kemewahan dan bermacam nikmat duniawi. Banyak pilihannya. Malangnya, ada juga yang terlepas pandang dan membiarkan peluang berlalu di depan mata.
 
Di saat banyak dalam kalangan kita yang sudah berada di puncak kejayaan, masih ada lagi sebilangan kecil daripada kita asyik bertelingkah. Masing-masing berhujah untuk memenangkan diri atau ideologi yang dianuti. Lebih malang lagi, maksud dan pengertian al-Quran yang tersurat dan tersirat jelas dalam surah al-Hujurat seperti tidak difahami atau seakan-akan sudah dimansukhkan!
 
Maka sementara bulan Syawal masih ada, ayuhlah beramal dan meneruskan amalan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan. Gunakalah akal yang waras dan fikir dalam kejernihan. Jangan begitu teruja dengan kehebatan diri atau puak yang didukung. Kelak, bila bersendirian (sama ada sudah pencen segalanya-dalam erti kata tiada kuasa atau ototriti) semua itu akan berpaling pergi daripada kita. Saat itu barulah kita sedar bahawa, ukhuwwah islamiyyahlah sebenarnya pengikat antara kita. Bukan ikatan ideologi sempit dan kelompok yang siang dan malamnya mengutuk orang lain dan menyelak aib saudara seagama.
 
Selamat beramal!
 
  


Sunday, August 19, 2012

السلام عليكم ورحمة الله

Awal Syawal sudah tiba. Ertinya, Ramadhan kali ini sudah berakhir...satu rukun islam sudah usai. Ada yang sempurna, ada yang perlu diganti dan ada juga yang tidak sempurna. Mudah-mudahan kita menjadi golongan yang pertama.
Wajar dilihat dan diteliti pengalaman Ramadhan ini, moga-moga banyak  pengajaran dapat  diambil. Kelak boleh dijadikan tauladan untuk Ramadan yang akan datang. Tempoh antara dua Ramadhan ada peluang mendapat kifarah daripada Ilahi. Ayuh berdoa semuga kita tergolong dalam golongan ini....Ameeen...

salam