Wednesday, August 29, 2012

Penyakit

السلام عليكم

Penyakit atau sakit adalah lumrah kehidupan manusia. Seumpama kenderaan yang kita miliki, sudah pasti akan memerlukan 'rawatan' apabila sudah berusia. Lima tahun atau mungkin sehari selepas dibeli, ada juga yang terus memerlukan rawatan. Bergantung kepada rezeki masing-masing.

Hal yang sama juga berlaku kepada kita. Ada yang baru dilahirkan, terus diuji dengan penyakit. Tidak kurang pula yang hidup bertahun-tahun, hanya mengalami demam dan selsema sahaja. Itu pun dalam sehari dua. Bahkan ada yang usia hampir senja baru ditimpa dengan pelbagai penyakit, seumpama sudah jatuh ditimpa tangga. 

Jika direnung dengan mendalam, betapa hebatnya aturan Allah. Semua itu direncanakan dengan penuh teliti, hinggakan kita sebagai hambanya tidak sanggup memikirkan segala hikmah yang tersembunyi di sebalik semua kejadian itu. Kerana itulah, kita perlu membaca dan memahami maksud dalam al-Quran. Di dalamnya banyak pengajaran dan jawapan kepada persoalan yang berlegar-legar dalam fikiran kita yang terbatas.

Dua belas hari daripada sekarang, saya akan melalui pembedahan. Satu tempoh yang dirasakan begitu panjang. Namun persediaan awal perlu disempurnakan sebelum hari itu tiba. Setiap hari perlu dihabiskan segala beban tugas, agar sebarang kemungkinan selepas pembedahan dapat diatasi dengan sebaik-baiknya.

Memang benar...kita semakin dekat dengan kematian.

Wassalam

No comments: