السلام عليكم
Berlalu sudah bulan puasa. Semakin jauh usia kita ditinggalkan di belakang. Hari-hari yang mendatang memberi banyak kemungkinan. Kemungkinan ini hanya Allah yang tahu. Dia yang mengaturkan segalanya.
Puasa enam (puasa enam hari di bulan Syawal) sedang dikerjakan oleh sebilangan kaum muslimin. Ada juga yang tidak kisah. Ada juga yang sejuk panas. Atau lebih mudah, hangat-hangat tahi ayam, kata peribahasa Melayu. Apa pun, ia sekadar ibadat sunat. Ada pilihan untuk buat atau tinggalkan.
Dalam keghairahan menyambut bulan raya (dulu hari raya, sekarang lebih tepat bulan raya), banyak dalam kalangan kita yang tidak dapat meneruskan puasa enam. Sekejap ada rumah terbuka di sini, sekejap di sana. Aduhai...esok lusa di tempat kerja pula ada rumah terbuka. Tup-tup bulan syawal berlalu pergi seperti Ramadhan juga.
Betapa damai dan amannya hidup di Malaysia. Biar pun ada segelintir yang tidak mahu mengakuinya. Semua benda yang ada di dunia ini, kebanyakannya boleh didapati di sini. Keamanan, kestabilan, kemewahan dan bermacam nikmat duniawi. Banyak pilihannya. Malangnya, ada juga yang terlepas pandang dan membiarkan peluang berlalu di depan mata.
Di saat banyak dalam kalangan kita yang sudah berada di puncak kejayaan, masih ada lagi sebilangan kecil daripada kita asyik bertelingkah. Masing-masing berhujah untuk memenangkan diri atau ideologi yang dianuti. Lebih malang lagi, maksud dan pengertian al-Quran yang tersurat dan tersirat jelas dalam surah al-Hujurat seperti tidak difahami atau seakan-akan sudah dimansukhkan!
Maka sementara bulan Syawal masih ada, ayuhlah beramal dan meneruskan amalan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan. Gunakalah akal yang waras dan fikir dalam kejernihan. Jangan begitu teruja dengan kehebatan diri atau puak yang didukung. Kelak, bila bersendirian (sama ada sudah pencen segalanya-dalam erti kata tiada kuasa atau ototriti) semua itu akan berpaling pergi daripada kita. Saat itu barulah kita sedar bahawa, ukhuwwah islamiyyahlah sebenarnya pengikat antara kita. Bukan ikatan ideologi sempit dan kelompok yang siang dan malamnya mengutuk orang lain dan menyelak aib saudara seagama.
Selamat beramal!
No comments:
Post a Comment